PROJEK PEMULIHAN YPPH-GEC: PENCEGAHAN KEBAKARAN DAN PEMULIHARAAN BAHAGIAN TENGGARA HUTAN SIMPAN PEKAN

LAPORAN KEMAJUAN – MAC 2022

NO. KEMASKINI 1/2022

Skop Projek:

YP Plantation Holdings (YPPH) telah mengembangkan Projek Pemulihan dengan sokongan Global Environment Centre (GEC) untuk mengimbangi kesan pembangunan ladang kelapa sawit di kawasan tanah gambut di Daerah Pekan, negeri Pahang. Projek ini dilaksanakan bersama YPPH dan GEC menyasarkan 4800[1] hektar untuk memulihkan kawasan hutan dan tanah terdegradasi serta melindungi ekosistem tanah gambut di kawasan tersebut. Untuk maklumat lanjut berkaitan pelaksanaan projek dan aktiviti, sila rujuk pautan https://ypph.com.my/v4/category/sustainability/.

Aktiviti yang dijalankan dalam tempoh Januari – Mac 2022

Laporan ini merumuskan beberapa aktiviti utama yang telah dilaksanakan di dalam Projek Pemulihan dalam tempoh Januari sehingga Mac 2022. Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan adalah Asian Waterbird Census di Sungai Bebar dan ladang YPPH, peninjauan udara secara berkala, serta sesi latihan dan pemantauan Sistem Risiko Bahaya Kebakaran ataupun Fire Danger Rating System (FDRS) bersama komuniti.

1. Waterbird Census

Asian Waterbird Census 2022 telah dilaksanakan pada Januari 2022. Sepanjang tempoh tersebut, GEC telah menjalankan pemerhatian burung bersama pakar ornitologi di Sungai Bebar dan ladang YPPH. Sebanyak 43 spesis telah direkodkan termasuklah 21 ekor spesis burung Enggang Berkedut (wrinkled hornbill) yang terancam dan 4 spesis berbeza kategori terdedah di Sunga Bebar. Manakala di kawasan ladang YPPH, terdapat 32 spesis yang dicatatkan sepanjang pemerhatian termasuklah 1 spesis grey-headed fish eagle (hampir terancam), 1 Javan myna (terdedah) dan 4 spesis burung penghijrah. Matlamat pemerhatian ini adalah untuk mengemaskini data inventori burung di kawasan ladang dan sumbangan senarai di landskap Hutan Paya Gambut Pahang Tenggara.

2. Penilaian dan Tinjauan Berkala Dron

Tinjuan udara secara berkala telah dilaksanakan untuk membolehkan imej kawasan di sepanjang kawasan Projek Pemulihan dikumpul dan direkod untuk tujuan laporan kemajuan. Hasil tinjauan yang dilakukan dalam tempoh ini mendapati aktiviti pembalakan telah bermula di kawasan hutan berstatus tanah negeri berhampiran dengan ladang YPPH. Kawasan pembalakan ini telah mendapat lesen sebelum aktiviti pemuliharaan dilakukan yang telah diterangkan dalam satu mesyuarat dengan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang pada tahun 2021. Adalah dimaklumkan bahawa tiada tindakan atau tindakan terhad yang boleh dilakukan oleh YPPH dan GEC berhubung dengan aktiviti pembalakan berlesen tersebut. YPPH dan GEC akan berkomunikasi secara berterusan dengan agensi-agensi berkaitan untuk sokongan pemantauan perubahan guna tanah dan cuba mengurangkan kesan-kesan.

[1] Fasa awal yang akan dimulakan pada tahun 2021, akan melibatkan kawasan seluas sehingga 4100 hektar. Penambahan keluasan kawasan akan bergantung kepada penentuan lokasi projek yang sesuai dan mendapatkan persetujuan daripada Kerajaan Negeri

3. Latihan Rondaan dan Pemantauan Kebakaran

Dua modul latihan telah disediakan dan satu sesi pelatihan telah diadakan bersama pemantau komuniti pada 18 Mac 2022. Sesi ini melibatkan dua pemantau dari Kg. Meranti yang terletak di kawasan selatan Projek Pemulihan. Pemantau telah diterangkan dengan tugas-tugas dan tanggungjawab sebagai Pemantau Komuniti termasuklah pemantauan kawasan, pemerhatian paras air dan mengemaskini petunjuk risiko kebakaran di papan tanda. Selain itu, sesi latihan penggunaan aplikasi telefon pintar Avenza Map juga telah diberikan kepada pemantau tersebut. Aplikasi tersebut juga membolehkan pengguna memuat turun peta untuk kegunaan luar talian, pengguna boleh memplot, menjejak dan merekod maklumat tentang lokasi, mengimport dan mengeksport penanda tempat, mengukur jarak dan lain-lain. Dijangkakan rondaan aktif oleh peronda komuniti akan bermula pada bulan April dan satu program kesedaran masyarakat akan dijalankan pada bulan Mei 2022.