Aktiviti yang dilaksanakan bagi tempoh Januari – Mac 2025
Laporan ini merangkumi aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan sepanjang tempoh Januari hingga Mac 2025 di
bawah Projek Pemulihan YPPH-GEC. Aktiviti-aktiviti ini merangkumi penglibatan dengan pihak berkepentingan,
penyelenggaraan penunjuk pencegahan kebakaran dan peralatan pemadaman, pemantauan tapak melalui
udara serta inventori nurseri pokok komuniti.
1. Penglibatan Pihak Berkepentingan
GEC telah menjalankan penglibatan secara aktif bersama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Jabatan
Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Projek SMPEM, Pejabat Daerah Pekan, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA),
Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pertanian (DOA), Enggang (Pekan) Sdn. Bhd., dan YP Plantation Holdings
(YPPH). Mesyuarat bersama pihak berkepentingan telah dianjurkan dan disertai dengan tumpuan utama kepada
isu kebakaran tanah gambut di dalam Landskap Hutan Paya Gambut Tenggara Pahang (Southeast Pahang
Peatland Landscape, SEPPL). Perbincangan utama telah memberi penekanan kepada tindakan kolaboratif bagi
mempertingkatkan strategi pencegahan kebakaran seperti melalui sekatan parit, pemulihan kawasan tanah
gambut yang terosot, pengurusan tanah yang lebih baik termasuk sempadan atau kawasan penampan, rondaan
dan pemantauan kebakaran berasaskan komuniti, kempen kesedaran, serta pengumpulan maklumat
biodiversiti untuk mengenal pasti kawasan habitat kritikal yang perlu dilindungi.

2. Penyelenggaraan Alat dan Peralatan Pemantauan dan Rondaan Kebakaran
GEC telah menjalankan penyelenggaraan ke atas tujuh papan tanda Sistem Risiko Bahaya Kebakaran (Fire
Danger Rating System, FDRS) di Kg. Meranti – menggantikan komponen yang rosak seperti penunjuk arah dan
kotak pemegang kad bagi memastikan papan tanda tersebut kekal berfungsi. Satu papan FDRS di Kg. Meranti
yang mengalami kerosakan teruk akibat tindakan vandalisme telah dialihkan. Selain itu, di Kg. Cenderawasih,
satu lagi papan FDRS didapati rosak akibat cuaca buruk dan turut dialihkan. Kedua-dua papan tanda ini akan
digantikan selepas tempahan set baru dalam masa terdekat. Sebagai sebahagian daripada kerja
penyelenggaraan, GEC juga membekalkan kad warna baharu kepada peronda komuniti yang disesuaikan dengan
kotak pemegang kad yang baru diganti, memastikan papan tanda sentiasa dikemas kini dan tepat. Tindakan ini
diambil susulan laporan daripada peronda komuniti.
3. Pemantauan Udara dan Darat
Pemantauan udara secara berkala telah dijalankan di sepanjang kawasan Projek Pemulihan YPPH-GEC dan zon
penampan, dengan tumpuan kepada kawasan terbakar atau berasap, serta kawasan bekas kebakaran di dalam
tapak Projek serta memeriksa keadaan sekatan parit bagi mengekalkan paras air yang optimum. Usaha ini
memberikan maklumat penting untuk melindungi kawasan ladang, hutan simpan (HS), dan kawasan sekitarnya,
terutamanya semasa musim kemarau. Pada 13 Februari 2025, satu kebakaran berlaku di tepi jalan Pekan-Nenasi,
merebak di kawasan bahagian timur dan utara dari Ladang Pekan Timur, berdekatan HS Pekan. Pada 2 Mac 2025,
kebakaran lain berlaku di ladang nanas Kg. Cenderawasih (kawasan Fasa 3), merebak ke zon penampan dan HS
Pekan. GEC bertindak segera, dan rakaman pemantauan udara telah dikongsi kepada BOMBA dan Jabatan Alam
Sekitar untuk membantu usaha pemadaman kebakaran. Dalam kerjasama dengan YPPH, Enggang, dan JPNP, GEC turut memudahkan penggunaan jengkaut untuk membantu pembinaan parit pemisah kebakaran (firebreak)
di tapak ketika kebakaran di antara kawasan Kg. Cenderawasih dan HS Pekan. GEC menjalankan pemantauan
udara dan darat setiap hari sehingga 10 April apabila asap berhenti. Bebarapa sekatan parit yang dibina dua
tahun yang lalu di kawasan tersebut telah menyediakan sumber air yang mencukupi untuk menyokong operasi
pemadaman kebakaran termasuk operasi pengeboman air oleh helikopter. .


4. Inventori Anak Benih di Nurseri Pokok Komuniti
GEC telah menjalankan inventori di Nurseri Pokok Komuniti Kg. Meranti untuk memantau keadaan anak benih,
ketersediaan stok anak benih serta persediaan bagi aktiviti penanaman pokok Projek Pemulihan YPPH-GEC. Anak
benih di nurseri pokok komuniti ini akan dibeli di bawah program pembelian semula anak benih untuk
rehabilitasi kawasan gambut yang terjejas dalam kawasan Projek Pemulihan YPPH-GEC. Spesis yang disemai di
nurseri termasuk Shorea sp. (Meranti), Dipterocarpus sp. (Keruing), Hopea sp. (Merawan), Koompassia
malaccensis (Kempas), Cratoxylum sp. (Geronggang), Melaleuca leucadendra (Gelam), Alstonia sp. (Pulai),
Fagraea fragrans(Tembusu), dan Durio carinatus(Durian Hutan). Jumlah anak benih di nurseri hampir mencapai
5,000 pokok. Selain bergantung sepenuhnya kepada GEC untuk membeli anak benih tersebut, GEC turut
menggalakkan anggota komuniti memperluaskan pemasaran anak benih mereka kepada pembeli lain yang
berminat.
5. Aktiviti Pemerkasaan Komuniti
Dua ahli komuniti di Kg. Meranti telah dipilih untuk melaksanakan aktiviti percubaan pemerkasaan melalui
pertanian sayur-sayuran sebagai sumber pendapatan alternatif dan meningkatkan keterjaminan makanan
berkhasiat. GEC telah mengagihkan barangan yang diperlukan seperti sarung tangan, cangkul, penyodok, tanah
organik dan beberapa pilihan benih sayur-sayuran kepada peserta untuk dicuba dan ditanam di kawasan ladang
mereka sendiri. Perbincangan mengenai pertanian telah dijalankan dan kedua-dua peserta memberi sokongan
serta bersedia mencuba penanaman pelbagai jenis sayuran. Aktiviti ini penting untuk membantu keadaan
kehidupan mereka sekarang kerana dengan menanam sayur yang sesuai, mereka dapat menjana pendapatan
tambahan selain dapat memanfaatkannya untuk keperluan sendiri.
6. Inventori Sekatan Parit
Menjelang berakhirnya musim monsun, sesi inventori sekatan parit di kawasan projek telah dijalankan pada 10
Februari 2025. Pemantauan darat dan udara dilakukan untuk memeriksa keadaan semasa sekatan parit yang
sedia ada. Sekatan parit nombor 11 (CB11) didapati masih mampu menahan jumlah air yang banyak walaupun
memerlukan penyelenggaraan segera. Satu kebakaran tanah gambut telah berlaku di kawasan bekas matau
pembalakan lama di bahagian timur laut Ladang Pekan Timur. GEC telah memantau paras dan aliran air di parit
bagi mengenal pasti sumber air yang boleh digunakan untuk pemadaman kebakaran. Dalam siri mesyuarat
bersama pihak berkepentingan mengenai penyelenggaraan sekatan parit, GEC mencadangkan pemindahan
sumber air dari CB11 ke kawasan kebakaran menggunakan pam air, serta menambah satu lagi sekatan di hilir
CB11 sebelum sumber air mengalir ke Kg. Cenderawasih, bagi menaikkan paras air antara CB9 dan CB11 serta
mengukuhkan tebing hilir CB11. Pada 2 Mac 2025, kebakaran lain berlaku yang merebak dari Kg. Cenderawasih
ke HS Pekan dan zon penampannya. GEC menjalankan pemantauan harian paras air kerana air di CB8 dan CB10 telah digunakan untuk operasi pengeboman air. Pemerhatian menunjukkan tiada perbezaan paras air, yang
menandakan sumber air di sekatan parit tersebut cepat diisi semula dan mampu menampung keperluan operasi
pengeboman air oleh BOMBA semasa operasi pemadaman kebakaran.
